08 November, 2011

KULAIJAYA JUARA PERTANDINGAN KOMPANG FORMASI PERINGKAT NEGERI JOHOR 2011

Kluang: 8 November 2001
Pasukan kompang SMK Bandar Tenggara, mewakili daerah Kulaijaya -
menjadi johan Pertandingan Kompang Formasi Peringkat Negeri Johor 2011

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara, Kulaijaya menjadi juara dalam Pertandingan Kompang Formasi Peringkat Negeri Johor kategori sekolah menengah hari ini. Pertandingan yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Kluang Barat, Kluang ini telah dirasmikan oleh Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Tuan Hj Kamaruddin Mohd Tahir. Naib juara dimenangi oleh daerah Muar dan ketiga Segamat. Manakala kategori sekolah rendah, Segamat menjadi juara, diikuti oleh Kulaijaya mendapat tempat kedua dan Kluang ketiga.

Turut hadir dalam pertandingan itu ialah Penolong Pengarah Seni dan Kebudayaan, Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPN), Mohd Azhar Mohtar, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kluang, Tuan Haji A.Manaf Muslimin, wakil-wakil PPD, pengetua dan guru besar dari seluruh negeri Johor, guru-guru pengiring dan tidak ketinggalan ibu bapa.

Penyelaras pertandingan, Hanuar Misron berpuas hati di atas penyertaan seramai 320 peserta dari 20 buah pasukan sekolah rendah dan menengah di negeri Johor. Pertandingan kali ini meningkat dengan ketara apabila mutu persembahan, pelbagai variasi formasi dan penampilan bergaya mewarnai pertandingan berbentuk seni budaya masyarakat Melayu yang akan diteruskan zaman berzaman.

Ketua Unit Kokurikulum dalam ucapannya mengatakan bahawa program RIMUP pada tahun 2012 akan dikendalikan oleh bahagian unit kokurikulum di setiap sekolah masing-masing. Ini membawa makna bahawa budaya masyarakat Melayu akan dimertabatkan ke peringkat yang lebih baik lagi sekiranya terdapat murid Cina dan India terlibat secara langsung dalam apa jua pertandingan yang diadakan. Oleh yang demikian nilai perpaduan dan kerjasama dapat dibentuk sejak dibangku sekolah lagi.

RAHSIA KEJAYAAN SMK BANDAR TENGGARA



Roziah Sapawi, jurulatih utama pasukan kompang formasi SMK Bandar Tenggara ditemui berkata, ucapan tahniah kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPN) kerana berjaya menganjurkan pertandingan seumpama ini. Tahniah juga kepada Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Alanggovan, pengetua sekolah, Hjh Banon SH Abdullah, GPK Kokurikulum, Ahmad Survi, guru penasihat Ahmad Nazri Selamat di atas sokongan dan kepercayaan mereka kerana memberi peluang kepadanya untuk membimbing pasukan kompang daerah Kulaijaya.

Beliau sebagai ibu kepada ketua pasukan kompang sekolah ini, Danial Ishar, amat berbangga di atas kejayaan sekolah. Beliau juga menaruh harapan agar program seumpama ini mendapat sokongan padu dari ibu bapa bagi memastikan kejayaan seterusnya dicapai bukan sahaja di peringkat sekolah, daerah, negeri malah di peringkat kebangsaan.

JOHAN KATEGORI SEKOLAH RENDAH


DAERAH SEGAMAT

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ