22 October, 2012

GURU DAN PELAJAR MENERIMA ANUGERAH CEMERLANG KOKURIKULUM 2012

20 Oktober 2012: Hari Anugerah Cemerlang Kokurikulum Tahun 2012
Wakil Rasmi PPD Kulaijaya
Seramai 26 pelajar dan 16 orang guru telah menerima anugerah sempena Hari Anugerah Cemerlang Kokurikulum Tahun 2012 yang bertemakan Kokurikulum Penjana Jati Diri Murid di Dewan Permata, SMK Bandar Tenggara, Kulaijaya.

Seorang pelajar tingkatan enam dan seorang lagi pendidikan khas iaitu Adam Azman dan Abdul Latif Jalil telah dinobatkan sebagai Tokoh Kokurikulum tahun ini kerana cemerlang dalam bidang Persatuan/ Kelab serta Sukan/ Permainan sehingga berjaya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Wakil rasmi Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Elanggovan a/l Savarimuthu mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima anugerah cemerlang kokurikulum. Beliau kagum dengan sekolah kerana berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan kokurikulum serta banyak kejayaan telah dapat dicapai sepanjang tahun ini. Katanya lagi, memang wajar sekolah ini menjadi rujukan kepada Sekolah-sekolah Menengah Daerah Kulaijaya.

Pada hari yang sama, seramai 134 orang pelajar telah dianugerahkan pingat Gangsa oleh Kementerian Belia dan Sukan di bawah program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM). Penganugerahan pingat itu telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Rakan Muda Negeri Johor, Cik Noremelia Rosla.

Baca lagi ...Hari Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM)

PROSES TEMUDUGA MEMBAWA PENGALAMAN BARU BUAT PELAJAR SEKOLAH

20 Oktober 2012 : Bilik Gerakan; SMK Bandar Tenggara

Peserta Pingat Perak ARPRM ditemuduga oleh pegawai-pegawai Jabatan Bela\ia dan Sukan Negeri Johor
Seramai 36 orang pelajar SMK Bandar Tenggara mendapat pengalaman baru apabila terlibat dalam proses temuduga untuk penganugerahan pingat Perak Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.

Empat komponen utama dalam Program ARPRM ialah khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak. Peserta yang telah melengkapkan keempat-empat komponen itu perlulah merekod segala aktiviti ke dalam buku diari dan passport untuk dinilai oleh panel ARPRM.

HARI ANUGERAH CEMERLANG KOKURIKULUM 2012


Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ