16 January, 2013

JEBAT MENJUARAI KEJOHANAN MERENTAS DESA KALI KE-5 TAHUN 2013

16 Januari 2013: Dewan Permata
Ketua Rumah Jebat, Abd Rohim bersama ahli-ahlinya
Satu untuk Jebat

Jebat muncul juara dalam Kejohanan Merentas Desa Kali Ke-5 Tahun 2013 yang berakhir pada jam 4.30 petang. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Tuan Hj Baharudin Md Sham.

Ketua rumah Jebat, Abd Rohim Rahman ditemui berkata kejayaan ini adalah kejayaan untuk semua. Tahniah kepada semua ahli rumah Jebat, para pemenang, guru-guru dan penasihat, Hjh Hasnah Kasnan yang membawa kejayaan cemerlang kali ini. Kejayaan ini membawa semangat baru untuk terus berjuang dan memastikan Jebat unggul dalam beberapa kejohanan besar akan datang.


Ahmad Nazri Selamat dan Siti Hanizan Samsuri, setiausaha sukan dan penolongnya telah melaporkan bahawa Jebat memperolehi 188 mata mendahului pesaing-pesaingnya, Kasturi 129, Tuah 119 dan Lekir 95 mata. Penyumbang besar kepada kejayaan rumah Jebat ialah peserta-peserta tingkatan satu lelaki dan perempuan. Pasukan rumah Tuah diketuai oleh Hamzah Rahman Soriat, manakala Taufiq Aluddin dan Khairul Aime Mohd Termizi mewakili rumah Kasturi dan Lekir.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Bandar Tenggara, Tuan Hj Armas Derusman, Penolong Kanan Pentadbiran, Anim Mohamed Jaib; GPK Hal Ehwal Murid, Rashid Muhidin; GPK Pra Universiti, Mohd Pozi Kemin, dan GPK Kokurikulum, Ahmad Survi dan semua guru kanan matapelajaran sebagai penasihat rumah sukan.

Turut membantu dalam kelancaran perjalanan kejohanan ini ialah anggota-anggota RELA Bandar Tenggara, anggota Polis, Balai Polis Bandar Tenggara dan pelajar pra universiti. Tahniah kepada semua warga guru dan  pelajar SMK Bandar Tenggara telah menjayakan kejohanan yang pertama tahun ini. Tahniah juga kepada murid Pendidikan Khas yang turut mengambil bahagian.

Keputusan penuh:-
1. JEBAT  (188 mata)
2. KASTURI ( 129 mata)
3. TUAH (119 mata)
4. LEKIR (95 mata)

Kategori Pendidikan Khas (L) :
KASTURI (27), JEBAT (18), LEKIR (14) dan TUAH (6)

Kategori Pendidikan Khas (P) :
KASTURI (17), JEBAT (10), TUAH (11) DAN LEKIR (7)

Kategori L13 :
JEBAT (32), KASTURI (24), LEKIR (11) dan  TUAH (4).

Kategori P13 :
JEBAT (54), KASTURI (9), LEKIR (4) dan  TUAH (3).

Kategori L15 :
JEBAT (22), TUAH (29), LEKIR (12) dan KASTURI (7).

Kategori P15 :
TUAH (29), KASTURI (20), LEKIR (11) dan JEBAT (10).

Kategori L18 :
JEBAT (24), TUAH (22), LEKIR (22) dan KASTURI (2).

Kategori P18 :
KASTURI (23), JEBAT (18), TUAH (15) dan LEKIR (14).

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ