27 May, 2011

XPDC Berbasikal - Sungai Pelepah Kota Tinggi

27 Mei 2011- Aktiviti Kelab Kembara - Penjelajahan Lasak (2H 1M)
Kulaijaya- Kelab Kembara dan Alam Sekitar, SMK Bandar Tenggara sekali lagi telah berjaya mengadakan program tahunannya iaitu ekspedisi berbasikal ke Sungai Pelepah, Air Terjun Kota Tinggi, Johor. Seramai 40 orang pelajar dan 10 orang guru telah berjaya membuat kayuhan sejauh 110 kilometer. Program ini mendapat sokongan penuh daripada Penolong Kanan Pentadbiran, Anim Mohamed Jaib serta mendapat kerjasama daripada Ketua Balai, SI, Yusof Muda dan 6 orang anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Balai Polis Bandar Tenggara bagi memastikan keselamatan peserta terjamin.




Guru penasihat dan penyelaras program, Abdul Rohim Rahman ditemui berkata, antara matlamat utama program seumpama ini ialah untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mental serta memupuk semangat juang yang tinggi di kalangan ahli kelab melalui aktiviti berbasikal. Disamping itu juga, kata beliau, "Penjagaan Alam Sekitar Adalah Tanggungjawab Kita". Dalam program tersebut, pelajar diberikan pendedahan mengenai pentingnya alam sekitar kepada kehidupan kita dan perlu dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmatinya. Taklimat mengenai tatacara penggunaan basikal dan teknik kayuhan yang melibatkan jarak yang jauh ini telah disampaikan oleh pengerusi Kelab Berbasikal BTec, Khairulnizam Mohd Yusof.



Turut serta dalam program tersebut ialah Penolong Kanan Kokurikulum, Ahmad Survi, pengerusi Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan Sekolah (BKGK), Zolkeplee Jemadar, setiausaha sukan, Mohd Sapi Halidin, penyelaras sukan dan permainan, Ahmad Nazri Selamat, jawatankuasa logistik, Md Shahfuddin Hussein, Aidil Shamin Abd Razak serta guru kaunselor sekolah, Salmah Othman.

25 May, 2011

24 May, 2011

KEMBARA MAHKOTA JOHOR - Mesyuarat kali ke-3

24 Mei 2011 - Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kembara Mahkota  Johor 2011 Peringkat Daerah Kulaijaya

Mesyuarat Kembara Mahkota Johor 2011 kali ke-3 ini dipengerusikan oleh En Abdul Malik Ismail. Sejumlah 27 agensi dan 4 buah sekolah telah terlibat sama. Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Pegawai Daerah Kulai, Tuan Kamarudin Abdullah, Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Tuan Hj Baharom Ali, Penolong PPD, En Mansor Othman, Pengetua SM Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulaijaya serta wakil-wakil pengetua dan jabatan kerajaan.

Laluan KMJ 2011
PAMERAN PENDIDIKAN

PAMERAN JABATAN/ AGENSI KERAJAAN

Semua ahli mesyuarat mengadakan lawatan ke tapak program. Perbincangan dilakukan oleh pengelola program Kembara Mahkota Johor 2011, Majlis Daerah Kulai.

23 May, 2011

Cemerlang Akademik Cemerlang Kokurikulum

13- 26 Mei 2011- Minggu peperiksaan Pertengahan Tahun.

Semua aktiviti kokurikulum pada hari Rabu ditangguhkan buat sementara. Kecemerlangan akademik menjadi tunggak utama sekolah. Maka dengan itu tujuan utama aktiviti kokurikulum ditangguhkan ialah untuk memberi peluang kepada murid dan pelajar menumpukan pelajaran dan memberi ruang masa yang banyak untuk mengulangkaji pelajaran. Akhirnya memberi impak yang baik kepada pencapaian akademik pelajar.

"Cemerlang Akademik Cemerlang Kokurikulum".

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ