06 April, 2013

MENYAHUT CABARAN SEMPENA PERTANDINGAN KAWAD KAKI PERINGKAT SEKOLAH

BANDAR TENGGARA: 6 April 2013

Persatuan Bulan sabit Merah
Pertandingan Kawad Kaki Peringkat Sekolah Tahun 2013 yang akan diadakan pada Rabu depan, menjadi satu medan bagi semua pasukan unit beruniform sekolah untuk menentukan siapakah yang menjadi juara kategori Agensi Kerajaan (GO), Agensi Bukan Kerajaan (NGO) dan Kadet Remaja Sekolah (KRS) tahun 2013 ini.


Penyelaras Pasukan Badan Beruniform, Khairulnizam Mohd Yusof menyatakan semua pasukan telah ditaklimatkan tentang syarat penyertaan, saiz gelanggang pertandingan, peraturan kawad kaki, kehakiman dan pakaian beruniform lengkap.

Tujuan utama pertandingan ini diadakan ialah untuk menanamkan sifat jatidiri murid yang tinggi. Dalam latihan tersebut peserta-peserta kawad kaki didedahkan dengan peraturan kawad, ini menjadikan mereka lebih yakin akan kemampuan diri, sedia menerima teguran, patuhi arahan ketua dan bersatu membentuk pasukan yang mantap. Secara tidak langsung kepimpinan seseorang murid itu dapat dibentuk melalui proses tersebut.

Mesyuarat guru telah diadakan pada 3 April 2013, dipengerusikan oleh pengetua sekolah, Tuan Hj Armas Derusman.

Pengakap

Pasukan Renjer Puteri
Kadet Remaja Sekolah (KRS)

04 April, 2013

MEMBURU KEJAYAAN SETELAH MENJADI JUARA KUMPULAN D, KEJOHANAN BOLA SEPAK L18 TAHUN MSS DAERAH KULAIJAYA 2013

KULAIJAYA : 3 April 2013; SMK Kulai Besar

Pasukan Bola Sepak Sekolah L18

Pengetua SMK Bandar Tenggara, Haji Armas Derusman mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemain bola sepak lelaki 18 tahun apabila muncul johan dalam kumpulan D.

" Teruskan perjuangan dan semoga berjaya sampai ke peringkat final." kata-kata semangat yang dilemparkan kepada semua pemain menjadi satu perangsang kepada anak didik Khairul Aime Termizi.

Khairul Aime selaku jurulatih pasukan L18 tahun, dari Hospital Besar Kulai ditemui berkata, tahniah kepada semua anak buahnya walau pun dengan ketiadaan beliau, pasukan sekolah telah berjaya menumpaskan SMK Bandar Putra 3-1, SMK Sultan Alauddin 4-2 dan mengalahkan SMK Bandar Tenggara 2, dengan jaringan 2 gol tanpa balas.

Tambah beliau, ucapan terima kasih kepada Setiausaha Sukan, Ahmad Nazri Selamat dan Aidil Shamin Abd Razak selaku jurulatih dan kepada guru-guru pengiring, Rohim Abd Rahman, Haji Saifulah Abd Wahab dan Shahfudin Hussin yang secara tidak langsung telah membawa kejayaan kepada sekolah. Terima kasih kepada Penolong Kanan Kokurikulum, Ahmad Survi dan Khairulnizam Mohd Yusof  kerana menziarahi beliau semasa di Hospital Besar Kulai tempoh hari.

MESYUARAT PERTANDINGAN KAWAD KAKI PERINGKAT DAERAH KULAIJAYA

2 April 2013: SMK Kota Kulai

Mesyuarat Pertandingan Kawad Kaki Bil 1/2013
Mesyuarat Pertandingan Kawad Kaki Peringkat Daerah Kulaijaya Bilangan 1/ 2013 bertempat di SMK Kota Kulaijaya berjalan lancar. Semua Penolong Kanan (PK) Kokurikulum Sekolah-sekolah Menengah Daerah Kulaijaya turut hadir.

Penyelia Pasukan Badan Beruniform PPD Kulaijaya, Johan Hj Nasir mempengerusikan mesyuarat tersebut..
Keputusan penting:-
1. Tarikh Pertandingan : 18 April 2013 (Khamis)
2. Tempat : SMK Kota Kulai


Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ