14 September, 2013

PERTANDINGAN DEKLAMASI SAJAK SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KALI KE-53 DAN HARI MALAYSIA KE-50 2013 ANJURAN KOLEJ KOMUNITI BANDAR TENGGARA

14 September 2013: Pendeklamasi Sajak Sekolah - Juara dan tempat kedua.

Pasukan pendeklamasi sajak sekolah
Pertandingan Deklamasi Sajak Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 dan Hari Malaysia Kali Ke-50, telah diadakan di Kolej Komuniti Bandar Tenggara pagi Jumaat. Seramai lima orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara telah mengambil bahagian.

Shamsul Ihtisham Musa, selaku jurulatih dan guru pembimbing melaporkan, sekolah kita telah mendapat tempat pertama dan kedua dalam pertandingan itu.

Johan deklamasi sajak tersebut telah dimenangi oleh Nur Afi'zah Zolkepele manakala Hazira Shamsul Ihtihsham mendapat tempat kedua, tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Agama Bandar Tenggara. 

12 September, 2013

SAMBUTAN HARI KOR KADET POLIS DAERAH KULAIJAYA 2013

12 September 2013 : PPD Kulaijaya

Pasukan Kadet Polis (puteri)
Seramai 23 orang anggota Kadet Polis Puteri turut serta dalam perbarisan sempena Sambutan Hari Kor Kadet Polis Daerah di Perkarangan Pejabat PPD Kulaijaya pagi ini. Pasukan sekolah menaiki sebuah trak Polis Diraja Malaysia bersama dua orang guru pengiring.

Pegawai Kadet Polis Sekolah

Azlina Abu Bakar, Guru Penasihat Pasukan Kadet Polis semalam ditemui berkata, sambutan Hari Kor Kadet Polis adalah untuk kali ke-43 tahun ini.. Semua sekolah-sekolah menengah daerah Kulaijaya turut serta dalam perbarisan yang akan bermula pada jam 8.30 pagi.

Pada majlis sambutan tersebut, seramai 33 orang guru dilantik sebagai pegawai kadet manakala 24 orang murid, ahli Kadet Polis Sekolah dilantik sebagai Sarjen Kadet. Katanya lagi, pada tahun ini, Mohd Asmawi Ab Rasip menerima tauliah rasmi daripada PDRM Daerah Kulaijaya.

Pasukan Kadet Polis Puteri
Keperihatinan guru


PERTANDINGAN KUIZ SEJARAH PERINGKAT DAERAH KULAIJAYA 2013

12 September 2013 : SMK Tunku Abdul Rahman Putra

Wakil Sekolah

Seramai 6 orang murid mewakili sekolah dalam Pertandingan Kuiz Sejarah Peringkat Sekolah-sekolah Menengan Daerah Kulaijaya pada hari semalam. Pertandingan itu telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, Kulaijaya. Sebanyak 17 buah sekolah menengah telah mengambil bahagian.

Rohidah Othman, Anne Suraya Halim sebagai guru pembimbing dan guru pengiring menaruh harapan yang besar agar sekolah kita berjaya mendapat tempat dalam pertandingan tersebut..

Nama-nama murid yang mewakili sekolah :-
1. Muhammad Umar Huzaifa bin Mohd Azahar.
2. Nur Aqilah binti Ahmad
3. Siti Najiha binti Mahram
4. Syaidatul Amira binti Ramlan
5. Nur Izzatul Aina binti Syukur
6. Nuru Yusnainy binti Mohd Yusof

Keputusan :-
Sekolah hanya berjaya sehingga ke peringkat saringan sahaja. 

09 September, 2013

SUKAN UNTUK KECEMERLANGAN

8 September 2013 : Program Terancang Mengenali dan Melahirkan Bakat Baru Sekolah

Hj Saifullah Abd Wahab, Guru Penasihat Tenis
(berdiri dua dari kanan)
Hj Saifullah Abd Wahab, Guru Penasihat Kelab Tenis Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara ditemui di Gelanggang Tenis Bandar Tenggara pagi semalam mengatakan tenis merupakan satu permainan yang telah termaktub dalam takwim Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah-sekolah Johor (MSSJ) dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM). Oleh itu, laluan kesetiap tahap itu perlu digembeling oleh semua pihak termasuk pemain itu sendiri.

Seseorang pemain itu perlu menguasai emosi dan mempunyai kemahiran asas seperti membuat servis, menampan dan membalas pukulan masuk ke gelanggang lawan.

Murid Tingkatan Empat semua sekolah di Malaysia telah didedahkan dengan permainan tenis melalui matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Maka latihan praktikal perlu dijalankan lebih kerap agar murid berpeluang menguasai kemahiran dan akhirnya dapat bermain dengan baik.

Tambahnya lagi, murid-murid yang berminat bolehlah berjumpa dengan Tn Hj Saifullah, Guru Penasihat Kelab Tenis Sekolah. Tegasnya lagi latihan setiap minggu dijalankan pada hari Sabtu dan Ahad bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari di Gelanggang KEJORA.

Sila kunjungi laman web berikut untuk mendapatkan ilmu permainan tenis:-
1. Kemahiran Asas Tenis
2. Undang-undang Permainan Tenis.

Rujuk Buku Panduan Pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S)
1. Portal Rasmi Bahagian Sukan KPM

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ