05 June, 2012

GURU AKTIF DAERAH KULAIJAYA

28 Mei 2012 : Pengiktirafan oleh PPD Kulaijaya


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Johor, Yang Berhormat Datuk Haji Maulizan Bujang, telah menyampaikan  sijil penghargaan kepada Tokoh Kepimpinan, Tuan Haji Ahmad Bakhtiar Md Dan dan Tokoh Guru 2012, Puah Hjh Kalthum Hj Jeran sempena Perayaan Hari Guru Daerah Kulaijaya pada 25 Mei 2012 di Dewan Raya, Majlis Daerah Kulaijaya.

Penolong Kanan Kokurikulum, SMK Bandar Tenggara; Ahmad Survi telah menerima Anugerah Guru Aktif Peringkat Daerah Kulaijaya Tahun 2012. Manakala penerima Anugerah Kepimpinan ICT, Pn Hjh Khadijah Mohamad, Anugerah Kepimpinan Sukan, Zainal Mohd Diah, Anugerah Guru Inovatif, Suhaimi Shaarani dan Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Abd Rahman Mohamed..

Beliau ketika ditemui berkata, martabat sekolah perlu dijaga, dipelihara dan digilap agar sentiasa cemerlang, gemilang dan terbilang selari dengan Falsafah Pendidikan Negara. Usaha seperti ini bukan usaha seseorang individu sahaja. Katanya lagi, penglibatan semua pihak bermula dari pengetua, penolong kanan, guru, murid dan pelajar serta ibu bapa memainkan peranan penting kepada sesuatu kejayaan.

Sebagai seorang pengurus di bidang kokurikulum beliau sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada guru-guru untuk memastikan semua aktiviti dan penglibatan pelajar terurus dengan baik. Pengiktirafan juga perlu diberikan kepada guru dan pelajar yang berusaha dalam meningkatkan kejayaan sekolah. Kejayaan baginya perkara kedua, penglibatan pelajar yang dirancang oleh guru menjadi perkara utama dalam proses pembinaan insan. Akhirnya beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak di atas pengiktirafan ini sehingga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara mencapai beberapa kejayaan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Pencapaian Sekolah Tahun 2012 :

JOHAN
1. Kejohanan Polo Basikal Peringkat Daerah Kulaijaya Kali Pertama.
2. Pertandingan Kawad Kaki Agensi Kerajaan (Perempuan).
3. Pertandingan Badminton Sempena Hari Guru.
4. Pertandingan Kompang Formasi.
5. Menerima Anugerah Unit Sekolah Teraktif ARP Rakan Muda Peringkat Negeri Johor

Laman Blog yang dibina oleh Penolong Kanan Kokurikulum, SMKBT, antaranya ialah untuk menyampaikan maklumat terkini, perkongsian idea, sumber rujukan dan rekod pencapaian bidang kokurikulum, di mana murid/pelajar, guru dan kakitangan sekolah terlibat. Kunjungilah laman blog di bawah :-

1. Blog Pengurusan Kokurikulum
2. Blog Kelab Polo Basikal
3. Blog Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM).
4. Blog Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSSD) Daerah Kulaijaya.
5. Blog Pertandingan Kawad Kaki Daerah Kulaijaya.

Untuk makluman semua warga SMK Bandar Tenggara, jumlah tertinggi kunjungan laman blog Pengurusan Kokurikulum, setakat berita ini dimuatkan ialah 14,332 orang. 

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Kulaijaya, Jumaat - Perayaan Hari Guru Daerah Kulaijaya telah dijalankan dengan jayanya di Dewan Raya Kulai, Kampung Melayu. Tahniah diucapkan kepada Tuan Haji Ahmad Bakhtiar bin Md Dan yang dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan 2012 dan Puah Hjh Kalthum bte Hj Jeran sebagai Tokoh Guru 2012.
Warga PPD Kulai merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Laporan oleh: Suhaimi Saarani


Sumber rujukan : Laman Portal PPD Kulaijaya
1. Tokoh Kepimpinan dan Tokoh Guru 2012
2. Guru Cemerlang
3. Guru Inovasi
4. Guru Aktif
5. Guru Cemerlang Pendidikan Khas


Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ