18 April, 2014

KAWAD KAKI KULAIJAYA 2014- PENGAKAP DAN PANDU PUTERI PENYUMBANG KETUA PLATUN TERBAIK DAERAH

17 April 2014: SMK Taman Kota Kulai


Farid Izzudin Zulkifli,
Ketua Platun Terbaik NGO (Pengakap)
Hazira Shamsul Ikhtihsham, Ketua Platun terbaik
NGO (perempuan)- Pandu Puteri
 PASUKAN PENGAKAP - JOHAN NGO (L)
Pengakap - Johan NGO (lelaki)
Pertandingan Kawad Kaki Peringkat Daerah Kulaijaya 2014 berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah (SMK) Taman Kota Kulai dengan berlangsungnya majlis penutupan rasmi oleh Encik Mansor Othman, Ketua Unit, Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pendidikan Kulai petang tadi.

Sebanyak 43 buah pasukan badan beruniform seluruh daerah Kulaijaya mengambil bahagian. Pasukan-pasukan yang terlibat terdiri daripada 13 pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS), 10 pasukan Agensi Kerajaan (GO) dan 20 pasukan Agensi Bukan Kerajaan (NGO).

Turut hadir dalam majlis penutupan tersebut ialah Encik Johan Hj Nasir, Penyelia Pasukan Bandan Beruniform Daerah Kulaijaya, Penolong Kanan (PK) Kokurikulum sekolah-sekolah menengah daerah Kulaijaya.

Pasukan Pengakap (Lelaki) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara buat kali kedua menjuarai pertandingan Kawad Kaki Peringkat Daerah Kulaijaya Tahun 2014. Pasukan di bawah bimbingan Cikgu Hasry Mustakim dan Tuan Hj Saifullah Abd Wahab dapat mengekalkan kedudukan cemerlang apabila Farid Izzudin Zulkifli muncul sebagai ketua platun terbaik kategori Agensi Bukan Kerajaan (NGO-L).
Pandu Puteri menduduki tempat ke-3
Kategori NGO (puteri) 
Manakala pasukan Pandu Puteri sekolah di bawah bimbingan Pn. Noraishah Tarni dan Pn. Suriati Alias mendapat tempat ketiga tahun ini. Sejarah baru terukir apabila Hazira Shamsul Ihtihsham, ketua platun masih mengekalkan kedudukannya sebagai ketua platun terbaik Agensi Bukan Kerajan (NGO) selama dua tahun berturut-turut.
Pasukan Kadet Polis - saguhati
Tahniah juga kepada pasukan Kadet Polis bimbingan Pn Norazlina Abu Bakar, walau pun hanya berjaya menduduki tempat keempat kategori Agensi Kerajaan (GO), namun semua yang terlibat sama ada pengurus pasukan, jurulatih, ketua platun dan semua ahli kawad amat disanjung tinggi. Mereka telah berusaha bersungguh-sungguh  untuk mencapai kejayaan lebih baik.

Kegagalan pada tahun ini menjadi satu cabaran untuk tahun hadapan. Semoga segala kesungguhan, kegigihan dan disiplin, yang ditunjukan oleh setiap ahli seiring dengan objektif dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

BOLA SEPAK B18- PERINGKAT DAERAH KULAIJAYA 2014

16 April 2014: Padang SMK Taman Puteri

Meraikan kejayaan bersama pengurus pasukan, Cikgu Khairul Aime

Perlawanan penentuan tempat ke-3 diantara
SMK Bandar Tenggara dengan SMK Sultan Ibrahim
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara hanya berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan bola sepak bawah 18 tahun ini. Kejayaan ini dikongsi sama oleh Khairul Aime, pengurus pasukan sekolah, Aidil Shamin Abd Razak, jurulatih bola sepak, Ahmad Nazri Selamat, selaku setiausaha sukan sekolah dan guru-guru pengiring Tuan Haji Saifullah Abd Wahab dan Sahfudin Hussein.
Pasukan Bola Sepak B18

Tempat Ke-3
Pengurus pasukan sekolah ditemui berkata, sekolah kita berjaya mengalahkan SMK Indahpura dengan jaringan 2-0, kalah dengan SMK Sultan Alauddin 1-4 dan ke separuh akhir apabila berjaya menumpaskan SMK Taman Puteri dengan 1-0. Pasukan sekolah kita kalah dengan SMK Tunku Abdul Rahman Putra dengan jaringan 1-2 untuk ke peringkat akhir. 

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ