19 April, 2013

SMK BANDAR TENGGARA MENCIPTA REKOD: KETIGA-TIGA KETUA PLATUN DINOBATKAN SEBAGAI KETUA PLATUN TERBAIK PERINGKAT DAERAH KULAIJAYA

KULAIJAYA : 18 April 2013 SMK Kota Kulai
Pengakap SMK Bandar Tenggara - Johan NGO (lelaki)

Kadet Polis (P) - tempat ke-tiga
Hazira Shamsul Ihtihsham, Ketua platun terbaik NGO (P)

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara telah mencipta rekod pada tahun ini apabila ketiga-tiga ketua platun yang bertanding iaitu Pengakap (putera) diketuai oleh Farid Izzudin Zulkifli, Kadet Polis (puteri); Nur Shahira Mohd Ariffin dan Pandu Puteri; Hazira Shamsul Ihtihsham telah dinobatkan sebagai ketua platun terbaik peringkat daerah Kulaijaya.

SMK Kota Kulai menampilkan dua ketua platun terbaik KRS (putera dan puteri) iaitu Al Husriff Arjuna dan Nurul Ain Abdullah manakala Liew Zhoo Ting ketua platun terbaik Agensi Kerajaan (L) daripada pasukan Kadet Bomba, SMK Senai.


Pertandingan kawad kaki tahun ini mendapat sambutan baik daripada sekolah-sekolah menengah daerah Kulaijaya. Seramai 1435 orang murid telah turut bertanding dalam tiga kategori iaitu Kadet Remaja Sekolah (KRS), Agensi Kerajaan (GO) dan  Agensi Bukan Kerajaan (NGO). Secara keseluruhannya sebanyak  41 pasukan telah mengambil bahagian, 24 daripadanya ialah pasukan puteri.

Penolong Pegawai Pelajaran, Elanggovan a/l M. Savarimuthu wakil rasmi Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, telah menutup rasmi Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Daerah Kulaijaya 2013.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan yang berjaya dan syabas kepada yang belum berjaya. Katanya lagi, ucapan tahniah dan terima kasih juga diberikan kepada Pengetua SMK Kota Kulai, Rahmah Sulaiman, Penolong Kanan Kokurikulum Bahrin Omar serta jawatankuasanya yang telah bertungkus lumus dalam membuat persiapan rapi bagi menjayakan pertandingan kawad kaki kali ini. Begitu juga kepada semua jawatankuasa pengelola yang diketuai oleh Penyelia Unit Pakaian Beruniform, Johan Nasir.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua murid yang terlibat. Harapan beliau, semangat juang yang tinggi, berdisiplin, patuh kepada arahan ketua dan semangat bekerja dalam pasukan perlu diteruskan agar jati diri seseorang individu itu semakin mantap. Kawad kaki merupakan latihan terbaik dalam membina insan yang harmonis, cekap dan berwawasan.

SMK BANDAR TENGGARA
Sebanyak 3 pasukan beruniform telah menyertai pertandingan iaitu:-
1. Pasukan pengakap - tempat pertama NGO (L)
2. Kadet Polis - tempat ketiga GO (P)
3. Pandu Puteri - saguhati

Ketiga-tiga ketua platun dinobatkan sebagai Ketua Platun Terbaik daerah Kulaijaya.

Link ke Laman Blog Kawad Kaki Kulaijaya

Muat turun : KEPUTUSAN PENUH PERTANDINGAN KAWAD KAKI PASUKAN BADAN BERUNIFORM PERINGKAT DAERAH KULAIJAYA TAHUN 2013




1 comment:

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ