16 May, 2013

HARI GURU DISAMBUT MERIAH

BANDAR TENGGARA: 16 MEI 2013

Tuan Hj Armas Derusman,
Pengetua SMK Bandar Tenggara
Tema Hari Guru tahun ini ialah Guru Malaysia : 1Aspirasi, 1Agenda. Tema yang cukup bermakna ini menjadi satu aspirasi para guru untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti  dan bertaraf dunia sebagaimana yang tersurat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia  (PPPM).

Tuan Haji Armas Derusman, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara dalam ucapannya beliau begitu teruja dengan sambutan yang dikendalikan oleh guru dan pelajar sekolah ini.

Katanya lagi, selama lebih kurang 14 tahun lamanya beliau tidak menyambut perayaan hari guru bersama warga guru dan pelajar. Dari awal lagi, perjalanan masuk ke Dewan Permata diiringi oleh pasukan bunga paha, paluan kompang, disajikan dengan tarian zapin, penggunaan ICT, manakala perjalanan majlis dikendalikan oleh pelajar.

Kami disambut dengan penuh istiadat Melayu. Alhamdulillah hari ini beliau bersyukur kepada Allah dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa serta warga sekolah yang menjayakannya.

Beliau mengucapkan selamat datang kepada Shukur Marzuki, wakil rasmi PPD Kulaijaya; Tuan Hj Baharudin Mohd Sham, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan jawatankuasanya yang hadir sama dalam majlis ini.

Tuan Hj Baharudin Md Sham
Yang Dipertua PIBG
SMK Bandar Tenggara
Ucapan ringkas yang penuh bertenaga dan bermakna oleh YDP PIBG iaitu Terima Kasih Cikgu mendapat tepukan gemuruh oleh guru dan pelajar di Dewan Permata sekolah ini. katanya, jasa guru tidak dapat dibalas. Beliau mengingatkan semua pelajar agar menghormati guru, kerana ilmu yang disampaikan oleh guru menjadi panduan dalam hidup kita, hari ini dan pada masa hadapan.


Zolkeple Jemadar, membacakan perutusan
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Shamsul Ihtihsham Musa, membacakan perutusan
Menteri Pelajaran Malaysia

1Aspirasi 1Agenda

Gambar kenangan bersama pengetua


Gambar 16 Mei : Selamat Hari Guru

SELAMAT HARI GURU "Terima Kasih Cikgu"

BANDAR TENGGARA : 16 MEI 2013
Terima Kasih Cikgu

12 May, 2013

PESERTA TERMUDA KAYUHAN XPDC BERBASIKAL DI PERSISIRAN PANTAI MERSING

MERSING: Anjuran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Cawangan Johor


Peserta termuda
Kayuhan pergi dan balik sejauh 30 kilometer melalui persisiran pantai  ke Air Papan dari SMK Seri Mersing menjadi suatu yang biasa bagi orang dewasa.

Namun Lukmanul Hakim Md Arbain, 9 tahun, dari SK Sri Maharaja Lela, Mersing berjaya menamatkan kayuhan tengahari ini dengan jayanya. Hakim ditemani ayahnya, Arbain Hamid dari SMK Buloh Kasap dan kakak serta ibunya yang turut sama hadir dalam program kayuhan di Mersing.

Peserta SMK Bandar Tenggara bersama Mahmod Hassan
Pengerusi KPPK Cawangan Johor
Mahmod Hassan, pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) cawangan Johor mengucapkan tahniah kepada Sahfuddin Hussein selaku ketua projek XPDC Berbasikal KPPK Cawangan Johor serta jawatankuasanya kerana merealisasikan program ini pada tahun 2013 dan mencapai kejayaan.

Pengarah projek
SMK Bandar Tenggara
Sahfuddin Hussein, pengarah projek XPDC Berbasikal Mersing ditemui berkata, tahniah kepada pengerusi KPPK Cawangan Johor, Mahmod Hassan dan setiausahanya, Mr Tay serta semua jawatankuasa KPPK cawangan Johor kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan program ini.

Semoga dengan penyertaan ahli-ahli KPPK dari daerah Mersing, Pasir Gudang, Kota Tinggi, Kulaijaya, Kluang, dan Pontian seramai 30 orang kesemuanya menjadi satu titik permulaan kepada pihak kami untuk terus menjayakan program XPDC Berbasikal peringkat Kebangsaan suatu masa nanti. Katanya lagi, terima kasih dan tahniah kepada semua yang hadir kerana sumbangan yang diberikan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Bersedia untuk berkayuh
Jadual Aktiviti Sempena Hari Guru:
25 April 2013 : Pertandingan Memancing
29 April - 21 Jun: Pertandingan Rekacipta Video Kebangsaan
07 Mei 2013  : Pertandingan Pentanque
08.Mei 2013  : Pertandingan Memasak.
09 Mei 2013  : Perlawanan Badminton (Polis DRM vs SMKBT)
10 Mei 2013  : Pertandingan Badminton Guru
11 Mei 2013  : Pertandingan Badminton Piala PPD Kulaijaya
12 Mei 2013  : XPDC Berbasikal KPPK Peringkat Negeri Johor
15 Mei 2013  : Pertandingan Boling Ten Pin
16 Mei 2013  : Sambutan Hari Guru
                        Tema : 1Aspirasi 1Agenda

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ