02 February, 2013

PERUBAHAN AKTIVITI KOKURIKULUM BULAN FEBRUARI 2013

2 Februari 2013: PENGURUSAN KOKURIKULUM

Makluman kepada semua warga SMK Bandar Tenggara, beberapa perubahan telah dibuat pada bulan Februari 2013.  Di antaranya ialah Perjumpaan Persatuan Badan Beruniform, Persatuan dan Kelab dan 1Murid 1Sukan. Perubahan ini tertakluk kepada keperluan semasa untuk pelajar melalui perbincangan semua penyelaras.

Sila rujuk jadual di bawah :-
1. Aktiviti sepanjang Februari 2013 oleh PK Kokurikulum.
2. Senarai nama guru untuk 1Murid 1Sukan (1M 1S) oleh Setiausaha Sekan Sekolah..
3. Jadual aktiviti 1Murid 1Sukan (1M 1S) oleh Setiausaha Sekan Sekolah.

AKTIVITI KOKURIKULUM
BULAN FEBRUARI 2013
& 1MURID 1SUKAN
Halaman 1

Halaman 2


SENARAI NAMA GURU
1MURID 1SUKAN

JADUAL AKTIVITI 1MURID 1SUKAN
(Bola Sepak, Bola Jaring, Bola Baling, Badminton, Petanq dan Sepak Takraw)






01 February, 2013

NADI ILMU AMALAN MEMBACA (NILAM)

31 Januari 2013:

Peserta NILAM bersama guru

Walaupun cita-cita sekolah untuk mencapai penglibatan 100% murid masih belum tercapai namun usaha-usaha giat dijalankan oleh Guru Perpustakaan dan Media dan guru-guru sekolah ini perlulah disanjung tinggi. NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca di peringkat sekolah.

Muhammad Farhan Abu Bakar telah berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan NILAM Bahasa Melayu peringkat daerah Kulaijaya. Manakala Thivyaa a/p Balachander merupakan peserta tunggal NILAM Bahasa Inggeris. Mereka berdua menjadi pencetus dan motivasi kepada murid-murid lain untuk turut serta secara aktif dalam program ini.

Guru Perpustakaan dan Media SMK Bandar Tenggara, Noor Asmah Ramly ditemui berkata matlamat untuk program ini ialah untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Program ini mula dilaksanakan di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah pada tahun 1999.

Katanya lagi, pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.Tahniah kepada Guru Perpustakaan dan Media sebelum ini iaitu Zulaikha Ngaliman dan Rohidah Othman.

Sila kunjungi Laman Web BTP

INTERNATIONAL STUDENTS ORIENTATION WEEK UTM SKUDAI

30 Januari 2013 : Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor


1Malaysia dari Pasukan Kompang Warisan Tenggara
SMK Bandar Tenggara, Kulaijaya
Jurufoto: Taufiq Aluddin

"Tuah ayam nampak di kaki, tuah sekolah kompang formasi". Itulah ungkapan kata-kata yang boleh diberikan kepada Pasukan Kompang Warisan Tenggara, SMK Bandar Tenggara yang telah berjaya mempamerkan persembahan mantap di hadapan pelajar-pelajar antarabangsa bersempena Minggu Orientasi Pelajar Antarabangsa bagi Sesi II, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Tahun 2012/2013.

Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai yang memberi peluang kepada pasukan Kompang Warisan, SMK Bandar Tenggara membuat persembahan pada malam tersebut.

Rohim Abd Rahman ditemui berkata, jurulatih pasukan kompang sekolah, Roziah Sapawi, menjadi peneraju utama ke atas kejayaan-kejayaan sekolah sebelum ini. Menjadi juara dalam pertandingan Kompang Formasi Peringkat Sekolah-sekolah Menengah Daerah Kulaijaya  dan Naib Johan peringkat negeri Johor Tahun 2012. Tambahnya lagi, Mohammad Danial Ishar merupakan ketua pasukan kompang sekolah yang berkebolehan tinggi dan berbakat.

Pasukan Kompang Warisan Tenggara
SMK Bandar Tenggara, Kulaijaya


KENANGAN SEMALAMAN

Persembahan mantap dan menghiburkan
Persembahan seni mempertahankan diri
dari Pontian

Zapin dan Joget Pahang

Tuan Hj Ahmad Sapari bersama guru dan jurulatih kompang

29 January, 2013

PERJALANAN BERIBU BATU BERMULA DENGAN LANGKAH PERTAMA

29 Januari 2013 : Pengurusan Kokurikulum Pra Universiti

Berjalan kaki ; 2515 langkah (2.1 km)
sekitar Bandar Tenggara semasa aktiviti kokurikulum. 

Pengurusan Kokurikulum pra universiti SMK Bandar Tenggara mengambil inisiatif untuk melaksanakan " Aktiviti Berjalan Kaki 1,000 Langkah Sehari". Aktiviti ini bukan sahaja akan memberikan faedah yang banyak kepada tahap kesihatan pelajar malah pada masa yang sama dapat menyemai semangat patriotik dan cintakan negara,

Penolong Kanan pra universiti, Zolkeple Jemadar ditemui berkata aktiviti seumpama ini bukan sahaja dapat mengiratkan lagi hubungan siratulrahim yang sedia terjalin di antara komuniti pelajar dan guru malah dalam masa yang sama menyahut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam amalan cara hidup sihat. Tambahnya lagi, aktiviti ini bersesuaian dengan kata pujangga Lao Tsu, " A journey of thousand miles begins with a single step",

Turut hadir dalam aktiviti ini ialah Penolong Kanan (PK) Pra Universiti, Mohd Pozi Kemin, PK Kokurikulum, Hafilah Hamzah, guru -guru tingkatan enam, Ustaz A.Rahim Arshad, Iskandarrani Mohamed, Zulaikha Ngaliman, Faridah Abdullah dan Hjh Muzayanah Sumrah.

aktiviti regangan 

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ