24 May, 2012

KAYUHAN 1MALAYSIA - SEMPENA KEJOHANAN MOTOR CROSS ANTARABANGSA


KAYUHAN 1MALAYSIA ANJURAN BAHAGIAN PELANCUNGAN KEJORA DENGAN KERJASAMA JKKMBT.

BORANG KAYUHAN 1MALAYSIA
(serah semasa pendaftaran)


    Terbuka kepada lelaki dan perempuan, warganegara Malaysia. Sebarang jenis basikal boleh digunakan, sama ada mountainbike, fixie, chopper, roadbike, basikal jaguar dan lain-lain. 

Pendaftaran : 7.30 pagi
(hadapan Pejabat KEJORA)
Mula kayuhan: 8.30 pagi
Berakhir : Stadium Tenggara

"JOM KAYUH,
BADAN SIHAT , MINDA CERGAS,
NEGARA MAJU"

22 May, 2012

HIMPUNAN 100,000 BELIA PERINGKAT NEGERI JOHOR BERJAYA


20 Mei 2012 : Plaza Angsana


Majlis Penutupan Rasmi Himpunan 100,000 Ribu Belia
Peringkat Negeri Johor; Foto oleh Shamsul Ihtihsham Musa
Himpunan Belia Iskandar Malaysia Johor 2012 tahun ini telah diadakan di Plaza Angsana, Johor Bahru. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Otman. Aktiviti J Robik telah disahkan mencapai tahap The Guiness Book of Records kerana berjaya mengadakan persembahan selama 26 jam tanpa henti.

Pada majlis berkenaan juga, Anugerah Pemimpin Belia atau Ikon Belia diberikan penghargaan dan pengiktirafan terhadap pencapaian golongan belia dalam pelbagai bidang.

Seramai 40 murid dan 5 guru dari SMK Bandar Tenggara telah terlibat. Ketua rombongan, Shamsul Ihtihsham Musa berkata, pihak sekolah berterima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang kepada murid sekolah ini. Sebanyak 75 jenis aktiviti daripada 13 segmen telah diadakan termasuklah cycle ball, motor cross, motorshow dan lain-lain lagi. Kumpulan C dari sekolah ini telah berjaya mendapat tempat ke-6 dalam aktiviti treasure hunt.


Penolong Kanan Kokurikulum, Ahmad Survi teruja dengan sukan baru yang ditunjukkan oleh kumpulan belia yang aktif bersukan. Sukan sensasi tersebut dipanggil skyrunnerAntara kebaikan sukan itu ialah seseorang individu itu boleh mengurangkan berat badan sehingga 7 kg selama sebulan tanpa mengambil ubat-ubatan yang terdapat di pasaran. Beliau sempat menemu ramah Pengarah Urusan, Syarikat Lamuning; Mohammed Amin Khan selama hampir setengah jam.

Turut serta dalam himpunan belia ialah Mohamad Hasry Mustakim, Ahmad Nazri Selamat dan Suriati Alias. Majlis telah berakhir pada jam 6.30 petang.

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ