03 May, 2014

ROKET AIR DAN PARACUT DILANCARKAN SEMASA AKTIVITI KOKURIKULUM BULAN APRIL 2014

30 April 2014: Padang SMK Bandar Tenggara
Pertandingan Roket Air dan Paracut
Sebanyak 5  kumpulan telah mengambil bahagian dalam pertandingan roket air dan roket payung terjun (parachute) sempena Minggu Sains dan Matematik peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara tahun ini.

Kumpulan pertama  terdiri daripada Anis Suziana Sawarudin dan Fatin Nagihah Misnan, kumpulan 2; Muhammad Zaidi Roslan dan Muhammad Aidil Asyraf Samsl, kumpulan 3; Nurul Nadirah Rashid dan Nur Anis Jailani, kumpulan 4; Nurul Sazwani Sukelan dan Muhammad Rafiudin Rafiq Ruzaid manakala  kumpulan 5 disertai oleh Raja Eizlan Hakim Raja Jalil dan Muhammad Lufti Husaini Hassan.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahmad Survi, Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Noridah Sidek, Guru Bimbingan dan Kaunseling, Puan Hajjah Hamimah Yunos, Guru Kanan Matapelajaran Sains dan Matematik, guru disiplin, En. Shamsul Ihtihsam Musa, guru-guru sains matematik serta murid-murid Tingkatan 1, 2, 3, 4 dan 5.

Azlina Abu Bakar, guru  Fizik ditemui berkata setiap pasukan perlu membina model roket air dan roket payung terjun untuk pertandingan peringkat sekolah tahun ini.

Peserta-peserta pertandingan perlu menggunakan bahan-bahan seperti botol plastik minuman berkarbonat 1.5 liter sebagai bahan utama dan peralatan-peralatan lain umpamanya pensil, marker pen, pembaris, gunting, pen-knife, pita pelekat, kertas putih (A4), kertas PVC (A4), clear binding cover (A4), plastisin, span, beg plastik sampah, benang, gelang getah, one hole punch, penimbang dan surat khabar terpakai.

Setiap pasukan perlu menghasilkan model roket air yang unik dan mampu menunjukkan unsur-unsur kreatif dan inovatif. Contohnya roket tujahan secara berperingkat (multiple stages rocket), roket yang boleh mengambil gambar dari udara, roket yang boleh meluncur ke sasaran dan sebagainya.


Intro Majlis Pelancaran Minggu Sains dan Matematik
Disediakan oleh En. Yazmi Sanip

Video Klip : Pelancaran Minggu Sains dan Matematik
Pengarang : Cik Nurul Falah Abd Ghani

No comments:

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ