10 July, 2011

Ucapan Penolong Kanan Kokurikulum

Ucapan Minggu Ketiga- Pengurusan Kokurikulum

Yang Berusaha, Pengetua SMK Bandar Tenggara
Yang dihormati, Penolong Kanan Pentadbiran
Yang dihormati, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Yang dihormati, Penolong Kanan Tingkatan Enam
Yang dihormati, Guru-guru Kanan Matapelajaran
Yang dihormati, Guru Media dan Perpustakaan
Yang dihormati, Penolong Kanan Pendidikan Khas
Yang dihormati Guru Bimbingan dan Kaunseling
Yang dihormati, semua guru
Yang dikasihi, murid dan pelajar

Pertamanya, saya mewakili semua warga sekolah ini ingin mengucapkan selamat datang kepada pengetua baru. Kami telah menunggu dari bulan Mac, selepas persaraan En Zainal Othman. Semoga dengan kehadiran pengetua, kita dapat meneruskan lagi kecemerlangan sekolah ini dari segi akademik dan kokurikulum.

Selaku Penolong Kanan Kokurikulum, laporan pertama yang saya bentangkan ialah mengenai tiga elemen penting iaitu Pasukan Badan Beruniform, Persatuan dan Kelab dan Sukan dan Permainan.

Penyelaras Badan Beruniform ialah En Khairulnizam
Banyak kejayaan yang dicapai tahun ini ;-
1. Pertandingan Pasukan Badan Beruniform

Naib Johan - Kadet Remaja Sekolah, di bawah bimbingan En Aidil Shamin bin Abd Razak dan Cik Anne Suraya binti Abd Halim.

Naib Johan - Pasukan Kadet Polis, di bawah bimbingan, En Shahfudin bin Hussein dan Pn Azlina binti Abu Bakar dan jawatankuasanya.

Naib Johan - Pengakap, di bawah bimbingan En Mohd Pozi bin Kemin dan En Saifulah bin Abd Wahab dan jawatankuasanya.

Tempat ketiga - Pandu Puteri, di bawah bimbingan Pn Noraishah binti Tarni dan jawatankuasanya.

Pasukan Badan Beruniform juga telah membuat perkhemahan bersepadu di bawah unit-unit Pasukan Beruniform pada bulan April 2011 di Pusat Latihan SAJ, Masai.

Manakala, Penyelaras Sukan dan Permainan diketuai oleh En Idris bin Yaman.
Banyak juga kejayaan yang diperolehi.
Pasukan Kompang Sekolah telah berjaya menjadi Johan dalam Pertandingan Kompang Formasi peringkat daerah Kulaijaya.

Penyelaras, Sukan dan Permainan diketuai oleh En Ahmad Nazri bin Selamat
Karnival Sukan dan Permainan telah dilaksanakan sepanjang satu bulan yang lepas. Permainan yang terlibat ialah Bola Baling, Bola Sepak, Bola Jaring dan Bola Tampar.

Di bidang Sukan untuk semua, dikendalikan oleh Setia Sukan, En Saipi bin Halidin. Antara aktiviti yang sudak berlangsung ialah :-
Pertama - Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Kulai
Kita hanya berjaya mendapat tempat ke- 13 daripada 16 buah sekolah.
Memperolehi 1 emas 4 Perak.

Kedua - Kita berjaya mengadakan Larian Perdana Mahkota pada bulan Februari.
Ketiga - Kita juga telah berjaya mengadakan Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-19 pada 30 Jun 2011 di Stadium Tenggara.
Keputusan:
Pertama - Rumah Lekir memperolehi 11 Emas 8 Perak 6 Gangsa
Kedua - Tuah memperolehi6 Emas 6 Perak 8 Gangsa
Ketiga - Kasturi memperolehi 5 Emas, 8 Perak 5 Gangsa
Keempat - Jebat memperolehi 4 Emas, 4 Perak dan 7 Gangsa

Keempat, kita juga telah berjaya menganjurkan Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia pada 2 Julai 2011.
VIP yang hadir ialah SI Yusoff, Ketua Balai Polis Bandar Tenggara.

Akhirnya, saya sekali lagi ingin mengingatkan pelajar, buku kokurikulum hendaklah dilengkapkan. Guru tingkatan akan membuat penilaian 10% markah kokurikulum. Harap mendapat perhatian dan mesti diambil tindakan.

Pada hari Rabu ini, 13 Julai 2011 aktiviti kokurikulum ditangguhkan.
Tetapi semua peserta gangsa dan perak Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) dikehendaki hadir dan membawa buku diary gangsa dan perak masing-masing.

Untuk makluman semua, pada Hari Selasa 12 Julai 2011, akan berlangsungnya satu kursus peringkat negeri Johor iaitu seramai 250 peserta akan berada di Dewan Permata, SMK Bandar Tenggara.
Tajuk kursus itu ialah Kursus Guru Penasihat Kelab Berasaskan Sukan Sekolah, Untuk Pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan  Peringkat Negeri Johor.

VIP yang akan datang ialah Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Johor, En Abd Aziz bin Redwan dan PPD Kulaijaya, Tuan Haji Bahrom bin Ali.

Sekian terima kasih. Selamat Maju Jaya.


Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ