03 September, 2012

WASIAT BANGSA MENGGEGARKAN STADIUM KULAIJAYA

31 Ogos 2012: Sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke-55 di Stadium Majlis Perbandaran Kulaijaya


Zolkeplee Jemadar
Mendeklamasikan Sajak - Warisan Bangsa


Wasiat Bangsa
Zol Akhasya (Cikgu Zolkeple Jemadar)

Inilah wasiat bangsa
Tetap terpasak berpaut pada laman merdeka
Irama lagunya indah terkata
Namun ke mana sebenarnya kita

Dengarlah wahai anak pewaris bangsa keramat;
Kita pernah disegah dengan senjata
Kita pernah dirobek isi emas bumi pertiwi
Kita pernah dirakus dengan maruah terinjak ke bumi
Kita pernah hanyut mencipta laman merdeka
Kita pernah lolos peradaban bangsa
Terkunci pancaindera tika mencipta setanggi merdeka

Mari kita berpimpin tangan dengan Abang Tuah lima bersaudara
Mari kita berpimpin tangan dengan Datuk Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau
Mari kita berpimpin tangan dengan Dato Onn  Jaafar, Tan Cheng Lock, Tun Sambatan
Biar nanti tetap tersenyum…mekar syahdu merdeka

Ingatlah wahai anak-anakku
Inilah bumi kita dan inilah tanah kita
Kalau kita tidur, biarlah kita lena pada tanah kita
Kalau kita berkubur biarlah kubur kita bertanda kerana ini bumi  kita

Inilah waris bangsa;
Jangan biarkan kita kehilangan bangsa
Jangan biarkan kita menjadi budak hamba nestapa
Jangan biarkan  kita dipersenda pada nama agama
Jangan biarkan kita dipersenda pada bahasa      
Jangan biarkan kita kehilangan daerah tercinta
Jangan biarkan anak warisan menumpang rasa
Jangan biarkan kit mati tidak bertanda
Jangan biarkan kita mati tidak bertalkin
Kerana inilah tanah kita, ini daerah kita, ini Negara kita

Aturkan nafas pada silangkata merdeka
Jangan songsang nawaitu bangsa
Kerana kita pernah terluka
Kerna kita pernah merdeka

Marilah kita tanam benih gigih dari pengalaman semalam
Kita menjejak akar budaya
Kita bina barisan raksasa kerangka bangsa
Kita bina generasi nilam terbilang maruah
Kita kuburkan sejarah hitam tergadai
Kita pusarkan petualang durjana
Kita bina kemenangan berpanjangan
Pada satu semangat perwira nusa pusaka
                Wasiat ini adalah wasiat bangsa
                Abadi buat anak merdeka
Disalin semula oleh,
abs

No comments:

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ