26 October, 2011

LEGO - ASAS PEMBINAAN ROBOT

JOHOR BAHRU: 25 OKTOBER 2011

Ketua Unit Kokurikulum JPNJ,
Tuan Haji Kamarudin Mohd Tahir (kanan)

LEGO adalah asas kepada pembinaan Robot. SMK Bandar Tenggara, Kulaijaya telah menerima satu set LEGO sumbangan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) di atas komitment dan kejayaannya menjadi tuan rumah dalam Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) pada awal tahun ini.

Pengalaman pertama menjadi tuan rumah buat julung-julung kalinya mendapat pengiktirafan daripada pihak pengelola pertandingan  dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) selaku penganjur pertandingan Zon Selatan. Satu set LEGO yang diberikan kepada pihak sekolah membawa erti yang amat besar kepada pelajar sekolah ini untuk menceburi bidang ROBOTIK pada masa hadapan.

Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Tuan Hj Kamarudin Mohd Tahir telah menyerahkan dua set LEGO kepada wakil sekolah Khairulnizam Mohd Yusuf, guru matapelajaran Kemahiran Hidup SMK Bandar Tenggara di Pusat Kokurikulum Johor Bahru pagi ini. Turut hadir dalam majlis yang ringkas itu ialah GPK Kokurikulum, Ahmad Survi. Jurulatih dari pihak penganjur akan datang ke sekolah untuk melatih guru dan pelajar kata Ketua Unit Kokurikulum JPNJ. Tambahnya lagi, tahniah kepada pengurusan sekolah di atas segala kerjasama yang diberikan dan selamat berjaya dalam pertandingan ROBOTIK pada tahun hadapan.


Mindstorm Education 9695
Perisian robot dan komponen asas

Mindstorm Education 9797

Buku panduan dan komponen

Kepada murid dan pelajar SMK Bandar Tenggara yang berminat untuk menyertai bengkel robotik sila berikan nama, nombor kad pengenalan, tingkatan serta nombor telefon rumah atau hp kepada GPK Kokurikulum melalui talian 013-7780699. Tarikh, hari, tempat dan masa bengkel tersebut akan dimaklumkan kemudian.

Kemahiran membina robot boleh dijadikan satu komponen dalam Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM). Rebutlah peluang keemasan ini.

Sila kunjungi Laman Web Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM)
atau Laman Web The International Award For Young People
Klik URL ini

24 October, 2011

KEJAYAAN CEMERLANG SMK BANDAR TENGGARA

Bandar Tenggara : 24 Oktober 2011
Jurulatih Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) Badminton
Zuraimi Hamidun (tengah)

Kejayaan sekolah dalam pelbagai acara diumumkan pagi ini oleh guru bertugas mingguan, Ruhaizah Muhd Zain. Antaranya ialah Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) Badminton Peringkat Kebangsaan Zon Selatan. Kejayaan Pusat Latihan Daerah (PLD) Kulaijaya di bawah bimbingan Zuraimi Hamidun berjaya menjadi Naib Johan bagi perseorangan lelaki terbuka dan mendapat tempat ketiga bagi acara bergu terbuka. Khairul Izwan Jamal mendapat tempat kedua dan gandingannya Amirul Aiman Amin dalam acara bergu mendapat tempat ketiga. Kedua, Izzatul Ismah Iskandarrani  menerima saguhati dalam Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia kepada Perdana Menteri anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
Hadiah, cenderahati dan sijil disampaikan oleh GPK Pentadbiran Anim Mohamed Jaib diiringi oleh GPK Hal Ehwal Murid, Rashid Muhidin.


Khairul Izwan Jamal, peserta perseorangan
kategori 14 Tahun
. 
Izzatul Ismah Iskandarrani, pemenang saguhati menulis surat
kepada Perdana Menteri Malaysia.

22 October, 2011

SEMINAR KAJIAN TINDAKAN PERINGKAT NEGERI JOHOR DI SMK BANDAR PUTRA, KULAIJAYA

Kulaijaya: 22 Oktober 2011

Seminar Kajian Tindakan Peringkat Negeri Johor 2011 dan Majlis Pelancaran Jurnal Kajian Tindakan Tahun 2010 yang diadakan di Dewan SMK Bandar Putera, Kulaijaya telah dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A.Ghani pagi ini.

Kulaijaya Gemilang Satu Impian yang diucapkan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Tuan Hj Fauzan Sukimi dalam ucaptamanya membuka lembaran baru kepada seluruh warga pendidik daerah Kulaijaya bagi menerajui satu lagi bentuk kajian secara ilmiah dan bersistematik berasaskan pengajaran dan pembelajaran bertapak di daerah Kulaijaya ini.

Turut serta dalam seminar tersebut ialah Pegawai Pelajaran Daerah-daerah Negeri Johor, Pengetua-pengetua SM Daerah Kulaijaya, Guru Besar SR Daerah Kulaijaya, Penolong Kanan, Jurulatih Utama Kajian Tindakan, jawatankuasa pengelola, pembentang-pembentang kategori sekolah menengah dan rendah negeri Johor dan guru-guru sekolah menegah dan sekolah rendah daerah Kulaijaya.

Seramai 10 orang guru dari sekolah-sekolah menengah  dan 10 dari sekolah rendah negeri Johor telah membentangkan hasil kajiannya bermula pada jam 8.30 pagi di dua lokasi yang berbeza. Pemerhati-pemerhati dari kalangan guru juga turut hadir, dan lebih kurang 200 orang turut serta.

Matlamat
Memberi peluang kepada guru-guru untuk menjadikan kajian ilmiah yang berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada. Seminar seumpama ini menjadi satu platform untuk guru-guru mengemukakan hasil kajian secara sistematik dan holistik.

Objektif
Guru-guru di negeri Johor selepas ini akan dapat:-
1. Meneruskan kajian tindakan di sekolah berasaskan kepada pengajaran dan pembelajaran.
2. Mengenalpasti kelemahan pengajaran dan pembelajaran.
3. Menggunakan peluang dan kekuatan untuk meninggikan prestasi kerja, berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dengan rakan sejawat.
4. Meningkatkan lagi perkongsian ilmu melalui penerbitan jurnal kajian tindakan.


Pembentangan Kajian Tindakan Peringkat Negeri Johor

Pembentang Kajian Tindakan dari sekolah rendah:
1. Jamilah Ahmad SK Taman Kota Kulai, Kulaijaya
2. Faridah Mohd dan, SK Sri Paya, Batu Pahat
3. Sofazzara Adam, SK Kempas, Johor Bahru
4. Sharifah Norma Syed Jaafar,  SK Bukit Lintang, Kota Tinggi
5. Mohd Fadhil Omar, SK Punan, Kluang
6. Kalsum Mohamed, SJK (C) Pei Chiao, Pontian
7. Mohd rizal Abd Ghani, SK Terian, Mersing.
8. Noraini Soid, SK Seri Alam 2, Pasir Gudang
9. Cik Norbaizura Othman Badwai, SK Panjang Sari, Muar
10 Zalman Fitrie Othman, SK Bandar Putra, Segamat

Pembentang Kajian Tindakan dari sekolah menengah:
1. Norzalina aman, SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulaijaya
2. Siti Noor Aziah Muhammad Ariffin, SMK Kempas, Johor Bahru
3. Hafisah Abd Hamid, SMK Tanjug Datuk, Kota Tinggi
4. Siti Zarina Giman, MSK Pengulu Saat, Batu Pahat
5. Abdul Kahar Ismail, SMK Dato' Pengawa Barat, Pontian
6. Khairul Anwar  Mohamad, SMK Anjung Batu, Mersing
7. Rahmah Sayuti, SM Sains Sembrong, Kluang
8. Kamisah Mohd Napiah, SMK Taman Rinting 2, Johor Bahru
9. Hjh Shamsiah Shamsudib, SMK Munshi Ibrahim, Segamat
10. Lailatul Hasnani Abd Hamid, SMK Pekan Baru, Muar.



Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ