15 April, 2012

KULAIJAYA TEMPAT KEEMPAT KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG MSSJ KALI KE-45 TAHUN 2012

15 April 2012: Stadium Kluang


Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A.Ghani menutup rasmi Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah-sekolah Menengah Negeri Johor Kali Ke-45 di Stadium Kluang, Johor.

Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Johor Bahru muncul menjadi juara dalam kejohanan kali ini dengan pungutan pingat 27 Emas 17 Perak dan 18 Gangsa. Tempat kedua ialah MSSD Muar dan MSSD Pasir Gudang ketiga. MSSD Kulaijaya yang menjadi juara tiga tahun berturut-turut dari tahun 2009 hanya mendapat tempat keempat tahun ini.

15 April 2012 : Stadium Kluang, Johor


Dari kiri, penolong pengurus: Oii Jek Tek, pengerusi teknik: Mohd Nazren Mohd Nor, ketua jurulatih: Zainal Mohd Diah dan penolong pengurus 1: Azhar Mohamed.

Kita gagal untuk mengekalkan kejuaraan buat kali keempat tahun ini. Apa sebabnya?

Ketua jurulatih kontinjen MSSD Kulaijaya, Zainal Mohd Diah ditemui berkata antara faktor kegagalan untuk menjadi juara pada kali keempat adalah disebabkan oleh ramainya atlit yang sudah dikenalpasti mendapat pingat emas menarik diri pada saat-saat akhir kejohanan.

Mereka ingin menumpukan pelajaran atas dasar ingin berjaya dalam peperiksaan, kemudian ada juga atlit yang berpindah ke sekolah berasrama penuh (SMBP). Jadi kita kehilangan bilangan pingat emas yang banyak.

Oleh itu, kami mensasarkan pungutan pingat sebanyak 18 Emas, 13 Perak dan 11 Gangsa sahaja. Akhirnya pada kejohanan tahun ini, MSSD Kulaijaya memperolehi 14 Emas, 16 Perak dan 17 Gangsa, suatu pencapaian yang baik, hampir menepati sasaran.  

Katanya lagi, Program Latihan Daerah (PLD) di SMK Tunku Abdul Rahman Putra masih belum beroperasi sepenuhnya. Begitu juga, sekolah-sekolah yang berkapasiti besar belum dapat melahirkan atlit-atlit yang berpotensi kerana kurangnya jurulatih berpengalaman dan program sukan yang terancang serta bersistematik.

Tambahnya lagi, tahun ini MSSD Kulaijaya hanya dapat menurunkan 1 orang atlit dari Sekolah Sukan Bukit Jalij (SSBJ) dan 4 lagi dari Sekolah Menengah Tunku Makkota Ismail (SMTI). Keadaan ini juga menjejaskan pungutan pingat emas.

Akhirnya, beliau berbangga dan berterima kasih di atas kerjasama dan kesungguhan jurulatih muda serta  sokongan dari pihak pengurusan PPD Kulaijaya, berupaya mengembalikan kecemerlangan sukan olahraga, pada masa hadapan.





No comments:

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ