27 Mei 2011- Aktiviti Kelab Kembara - Penjelajahan Lasak (2H 1M)
Kulaijaya- Kelab Kembara dan Alam Sekitar, SMK Bandar Tenggara sekali lagi telah berjaya mengadakan program tahunannya iaitu ekspedisi berbasikal ke Sungai Pelepah, Air Terjun Kota Tinggi, Johor. Seramai 40 orang pelajar dan 10 orang guru telah berjaya membuat kayuhan sejauh 110 kilometer. Program ini mendapat sokongan penuh daripada Penolong Kanan Pentadbiran, Anim Mohamed Jaib serta mendapat kerjasama daripada Ketua Balai, SI, Yusof Muda dan 6 orang anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Balai Polis Bandar Tenggara bagi memastikan keselamatan peserta terjamin.Guru penasihat dan penyelaras program, Abdul Rohim Rahman ditemui berkata, antara matlamat utama program seumpama ini ialah untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mental serta memupuk semangat juang yang tinggi di kalangan ahli kelab melalui aktiviti berbasikal. Disamping itu juga, kata beliau, "Penjagaan Alam Sekitar Adalah Tanggungjawab Kita". Dalam program tersebut, pelajar diberikan pendedahan mengenai pentingnya alam sekitar kepada kehidupan kita dan perlu dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmatinya. Taklimat mengenai tatacara penggunaan basikal dan teknik kayuhan yang melibatkan jarak yang jauh ini telah disampaikan oleh pengerusi Kelab Berbasikal BTec, Khairulnizam Mohd Yusof.
Turut serta dalam program tersebut ialah Penolong Kanan Kokurikulum, Ahmad Survi, pengerusi Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan Sekolah (BKGK), Zolkeplee Jemadar, setiausaha sukan, Mohd Sapi Halidin, penyelaras sukan dan permainan, Ahmad Nazri Selamat, jawatankuasa logistik, Md Shahfuddin Hussein, Aidil Shamin Abd Razak serta guru kaunselor sekolah, Salmah Othman.
No comments:
Post a Comment