08 November, 2011

KULAIJAYA JUARA PERTANDINGAN KOMPANG FORMASI PERINGKAT NEGERI JOHOR 2011

Kluang: 8 November 2001
Pasukan kompang SMK Bandar Tenggara, mewakili daerah Kulaijaya -
menjadi johan Pertandingan Kompang Formasi Peringkat Negeri Johor 2011

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara, Kulaijaya menjadi juara dalam Pertandingan Kompang Formasi Peringkat Negeri Johor kategori sekolah menengah hari ini. Pertandingan yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Kluang Barat, Kluang ini telah dirasmikan oleh Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Tuan Hj Kamaruddin Mohd Tahir. Naib juara dimenangi oleh daerah Muar dan ketiga Segamat. Manakala kategori sekolah rendah, Segamat menjadi juara, diikuti oleh Kulaijaya mendapat tempat kedua dan Kluang ketiga.

Turut hadir dalam pertandingan itu ialah Penolong Pengarah Seni dan Kebudayaan, Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPN), Mohd Azhar Mohtar, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kluang, Tuan Haji A.Manaf Muslimin, wakil-wakil PPD, pengetua dan guru besar dari seluruh negeri Johor, guru-guru pengiring dan tidak ketinggalan ibu bapa.

Penyelaras pertandingan, Hanuar Misron berpuas hati di atas penyertaan seramai 320 peserta dari 20 buah pasukan sekolah rendah dan menengah di negeri Johor. Pertandingan kali ini meningkat dengan ketara apabila mutu persembahan, pelbagai variasi formasi dan penampilan bergaya mewarnai pertandingan berbentuk seni budaya masyarakat Melayu yang akan diteruskan zaman berzaman.

Ketua Unit Kokurikulum dalam ucapannya mengatakan bahawa program RIMUP pada tahun 2012 akan dikendalikan oleh bahagian unit kokurikulum di setiap sekolah masing-masing. Ini membawa makna bahawa budaya masyarakat Melayu akan dimertabatkan ke peringkat yang lebih baik lagi sekiranya terdapat murid Cina dan India terlibat secara langsung dalam apa jua pertandingan yang diadakan. Oleh yang demikian nilai perpaduan dan kerjasama dapat dibentuk sejak dibangku sekolah lagi.

RAHSIA KEJAYAAN SMK BANDAR TENGGARA



Roziah Sapawi, jurulatih utama pasukan kompang formasi SMK Bandar Tenggara ditemui berkata, ucapan tahniah kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPN) kerana berjaya menganjurkan pertandingan seumpama ini. Tahniah juga kepada Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Alanggovan, pengetua sekolah, Hjh Banon SH Abdullah, GPK Kokurikulum, Ahmad Survi, guru penasihat Ahmad Nazri Selamat di atas sokongan dan kepercayaan mereka kerana memberi peluang kepadanya untuk membimbing pasukan kompang daerah Kulaijaya.

Beliau sebagai ibu kepada ketua pasukan kompang sekolah ini, Danial Ishar, amat berbangga di atas kejayaan sekolah. Beliau juga menaruh harapan agar program seumpama ini mendapat sokongan padu dari ibu bapa bagi memastikan kejayaan seterusnya dicapai bukan sahaja di peringkat sekolah, daerah, negeri malah di peringkat kebangsaan.

JOHAN KATEGORI SEKOLAH RENDAH


DAERAH SEGAMAT

01 November, 2011

MULAKAN PENGHIDUPAN BARU SEBAGAI PELAJAR INSTITUTE HOSPITALITY & TOURISM

Johor Bahru: 1 November 2011


Abdul Aziz M.Haithir dan Shima Ammera Adora M.Noor

Bekas murid pendidikan khas, SMK Bandar Tenggara, Abdul Aziz M.Haithir dan Shima Ammera Adora M.Noor memulakan penghidupan baru apabila mendaftar sebagai pelajar Institutute Hospitality And Tourism (FeMAC) di Pandan City, Johor Bahru.

Guru Pendidikan Khas, Khairani Hamdan, ditemui berkata bekas muridnya Abdul Aziz 17 tahun, akan mengambil kursus bakeri dan pasteri (bakery and pastery) manakala Shima 17 tahun, mengemas bilik (housekeeping). Kedua-duanya, sungguh bertuah hari ini apabila rakan-rakan dan guru-guru turut serta menghantar mereka ke tempat kursus selepas majlis jamuan akhir tahun yang diadakan di Hotel Selesa Johor Bahru.


Turut serta dalam majlis tersebut ialah Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Ruhaizad Hj Redwan serta guru-guru Pendidikan Khas yang terdiri daripada Noraina Samad, Khairani Zakaria, Hasry Mustakim, Aimie, Nurul Faishal dan pembantu khas Norlisna Omar. Turut meraikan majlis jamuan akhir tahun itu ialah Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Ahmad Survi.

Gambar kenangan di Hotel Selesa, Johor Bahru
______________________________________________________




Bangunan Institute Hospitality & Tourism (FeMAC)
Pandangan dari bawah.  

Pandangan dari tingkat satu Institute Hospitality & Tourism
City Pandan, Johor Bahru 

Penubuhan Konsortium FeMAC di Pandan City, Johor Bahru adalah dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (Irda), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Legoland. Sebanyak 5 jenis kursus ditawarkan di sini, termasuklah penyediaan makanan (chefs) tahap 1&2, penyediaan bakeri atau pasteri (bakery/ pastery chefs) tahap 1&2, pramusaji (waiters & captain) tahap 1&2, penyambut tetamu (front office) tahap 2&3 dan pengemasan bilik (housekeeping) tahap 1&2.

Pihak pengurusan FeMAC, Norasyikin berkata pelajar yang berjaya menamatkan kursus kemahiran akan diwajibkan bekerja dengan Legoland melalui perjanjian yang telah dimeterai dengan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). Menurutnya lagi kemudahan yang disediakan di sini merangkumi bilik kuliah yang moden lengkap dengan projektor dan TV LCD bagi suasana pembelajaran yang selesa, asrama yang selesa dilengkapi dengan penghawa dingin, kemudahan riadah seperti gelanggang futsal dan badminton juga disediakan.

Berita baik untuk semua pelajar yang berkursus di sini ialah tentang pemberian pinjaman oleh kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). Dalam masa yang sama  pelajar juga akan mendapat elaun sara hidup yang tinggi.

Pelajar juga akan diberikan bimbingan oleh tenaga pengajaran yang berpengalaman. Untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang yang diceburi penambahan pendapatan boleh diperolehi melalui latihan kerja separuh masa di hotel terkemuka. Kesimpulannya pelajar-pelajar di sini dijamin mendapat pekerjaan yang dikendalikan oleh Iskandar Malaysia dan Legoland.

Keperihatinan guru-guru Pendidikan Khas SMK Bandar Tenggara

Guru-guru turut membantu dalam urusan pendaftaran.
Disaksikan oleh GPK Pendidikan Khas, Ruhaizad Hj Redwan.

26 October, 2011

LEGO - ASAS PEMBINAAN ROBOT

JOHOR BAHRU: 25 OKTOBER 2011

Ketua Unit Kokurikulum JPNJ,
Tuan Haji Kamarudin Mohd Tahir (kanan)

LEGO adalah asas kepada pembinaan Robot. SMK Bandar Tenggara, Kulaijaya telah menerima satu set LEGO sumbangan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) di atas komitment dan kejayaannya menjadi tuan rumah dalam Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) pada awal tahun ini.

Pengalaman pertama menjadi tuan rumah buat julung-julung kalinya mendapat pengiktirafan daripada pihak pengelola pertandingan  dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) selaku penganjur pertandingan Zon Selatan. Satu set LEGO yang diberikan kepada pihak sekolah membawa erti yang amat besar kepada pelajar sekolah ini untuk menceburi bidang ROBOTIK pada masa hadapan.

Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Tuan Hj Kamarudin Mohd Tahir telah menyerahkan dua set LEGO kepada wakil sekolah Khairulnizam Mohd Yusuf, guru matapelajaran Kemahiran Hidup SMK Bandar Tenggara di Pusat Kokurikulum Johor Bahru pagi ini. Turut hadir dalam majlis yang ringkas itu ialah GPK Kokurikulum, Ahmad Survi. Jurulatih dari pihak penganjur akan datang ke sekolah untuk melatih guru dan pelajar kata Ketua Unit Kokurikulum JPNJ. Tambahnya lagi, tahniah kepada pengurusan sekolah di atas segala kerjasama yang diberikan dan selamat berjaya dalam pertandingan ROBOTIK pada tahun hadapan.


Mindstorm Education 9695
Perisian robot dan komponen asas

Mindstorm Education 9797

Buku panduan dan komponen

Kepada murid dan pelajar SMK Bandar Tenggara yang berminat untuk menyertai bengkel robotik sila berikan nama, nombor kad pengenalan, tingkatan serta nombor telefon rumah atau hp kepada GPK Kokurikulum melalui talian 013-7780699. Tarikh, hari, tempat dan masa bengkel tersebut akan dimaklumkan kemudian.

Kemahiran membina robot boleh dijadikan satu komponen dalam Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM). Rebutlah peluang keemasan ini.

Sila kunjungi Laman Web Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM)
atau Laman Web The International Award For Young People
Klik URL ini

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ