22 December, 2011

PMR 2011 - TEMPAT KETIGA DAERAH KULAIJAYA

Bandar Tenggara :22 Disember 2011


Pengetua SMK Bandar Tenggara, Tuan Haji Mohmad Hashim menyampaikan keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 kepada Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Anim Mohamed Jaib sekembalinya dari Pejabat Pelajaran Daerah Kulai (PPD Kulaijaya) pagi ini. 


Penyerahan itu disaksikan oleh GPK Hal Ehwal Murid, Rashid Muhidin, GPK Kokurikulum, Ahmad Survi, Guru Kanan Sains dan Matematik, Puan Hajah Hamimah Yunus, Guru Kanan Sains Sosial, Puan Hajah Hasnah Kasnan, Guru Kanan Vokasional dan Teknik, Puan Hajah Sawilah M.Auf, Penyelaras PMR, Norkiah Ahmad, guru-guru serta kakitangan pejabat. 


Sejumlah 155 orang calon telah menduduki peperiksaan tersebut pada tahun ini dan daripada jumlah itu, seramai 5 calon mendapat keputusan 9A. Pencapaian keseluruhan dengan GPS 2.75 dan 74.84 % lulus semua mata pelajaran telah meletakkan SMK Bandar Tenggara pada kedudukan ketiga terbaik, selepas dua sekolah kawalan di daerah Kulaijaya, SMK Bandar Putra dan SMK Bandar Tenggara 2.


Kejayaan cemerlang Izzatul Isma memperolehi 9A dalam PMR 2011, mengembirakan kedua ibu bapanya, Iskandarrani  Mohamed  yang merupakan guru di sekolah ini. Turut sama berkongsi kejayaan itu ialah ibunya, Wardah Daud juga merupakan seorang pendidik yang bertugas di SMK Sri Pinang, Kulaijaya.

Murid Tingkatan 3 Baiduri ini juga telah menerima anugerah pingat Perak dalam Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) di atas penglibatan aktif dan cemerlang dalam bidang kokurikulum serta perkhidmatan. Beliau juga merupakan "pelajar pintar cerdas" Permata Negara dan  merupakan calon tunggal sekolah ini yang telah berjaya terpilih dalam Program Permata Pintar Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini. 




Wajah-wajah gembira semua Guru Kanan Matapelajaran (GKM) bersama GPK Pentadbiran, Pn Anim Mohamed Jaib selepas mengetahui keputusan PMR 2011.
Menyemak keputusan dan menyenaraikan nama pelajar cemerlang.

Muhamad Farhan  Abd Ghafar 3 Baiduri,
memperolehi 9A PMR 2011.

Pelajar cemerlang PMR 2011 bersama pengetua, guru-guru
SMK Bandar Tenggara dan  PIBG.


KEJAYAAN CEMERLANG CALON PMR 2011

Calon-calon yang memperolehi 9A:-
1. Alif Azizi Parlan

2. Muhamad Farhan Abd Ghafar
3. Izzatul Ismah Iskandarrani
4. Nurul Atikah Noraji
5. Nurul Najihah Zanudin



Calon-calon yang memperolehi 8A, 7A dan 6A ialah:-
1. Siti Noor Allia Noor Ariffin (8A)
2. Nurfarhana Abd Mutalib (7A 2B)
3. Amirul Hafizi Azmi (7A 1B 1C)
4. Muhamad Amirul Syafiq Azman (6A 1B 2C)
5. Muhammad Shah Haziq Sharudin (6A 1B 2C)

20 November, 2011

Bandar Tenggara : 15 November 2011

Sesi taklimat Jambori Rakan Muda Peringkat Negeri Johor 2011
di Bilik Seminar, SMK Bandar Tenggara

Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) masuk tahun kedua,diteruskan lagi dengan penglibatan 40 pelajar sekolah ini dalam Jambori Rakan Muda Peringkat Negeri Johor Tahun 2011. Jambori Rakan Muda kali ini diadakkan di Taman Negara Gunung Ledang, Tangkak, Muar pada 23 hingga 25 November 2011. 

Penyertaan pelajar ke jambori ini adalah untuk melengkapkan komponen penjelajahan lasak bagi melayakkan seorang peserta itu dianugerahkan pingat Gangsa atau pun Perak mengikut tahap pencapaian masing-masing.  

Menurut Penolong Pengarah Program Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Sidi Latih, seseorang peserta ARPRM itu perlu melengkapkan empat komponen penting iaitu Khidmat Masyarakat, Kemahiran, Rekrasi Fizikal dan Penjelajahan Lasak.

Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum, Ahmad Survi membuat pertemuan khas dengan 40 pelajar bertujuan untuk memberikan taklimat berkaitan langkah-langkah keselamatan sebelum, semasa dan selepas jambori. Manakala Pemimpin ARPRM peringkat sekolah, Hafilah Hamzah menerangkan keperluan peserta semasa menghadiri jambori di Muar nanti. 

Pada hari yang sama, semua peserta membacakan ikrar ARPRM untuk penglibatan mereka dalam program yang mendapat pengiktirafan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sekali gus meningkatkan prestasi mereka dalam aktiviti kokurikulum.


Ketua bacaan ikrar ARPRM









15 November, 2011

SELAMAT BERSARA- JASAMU DIKENANG

Kulaijaya: 15 November 2011


Pn Hjh Banon SH Abdullah Bajrai, merekod waktu akhir bertugas
sebagai pengetua sekolah.


Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara, Banon SH Abdullah Bajrai menempah sejarah dalam hidupnya apabila bersara pada hari ini. Beliau ditemui berkata, saya seronok bertugas di sekolah ini. Tambahnya lagi, kejayaan cemerlang sekolah ini melalui sembilan anugerah kualiti pendidikan yang diterima  daripada Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Fauzan Sukimi membuktikan bahawa semangat bekerja secara berpasukan perlu diiteruskan. "Hasilnya sekolah ini berjaya menerima anugerah khas PPD kerana menjadi sekolah menengah terbaik kategori bukan sekolah kawalan 2010," katanya bangga.

Banon berasal dari Batu Pahat, Johor dan dilahirkan pada 16 November 1955 pernah belajar di dua buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pelangi dan SK Pengaram, Batu Pahat. Manakala mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Aminah, Batu Pahat dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Aminudin Baki, Kuala Lumpur.

Pemegang Ijazah dari Universiti Malaya (UM)  dalam bidang sastera telah menerima dua kali  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sepanjang perkhidmatannya. Dua cahaya mata kembarnya sedang menuntut di Universiti Sains Jordan dan Universiti Petronas Malaysia. Anak sulungnya, Siti Hajar Nasir bertugas sebagai seorang doktor gigi dan  Siti Hana Nasir sebagai pensyarah kolej.

Turut hadir dalam majlis ringkas saat-saat menamatkan kerjayanya sebagai Pegawai Perkhidmatan Awam di SMK Bandar Tenggara ialah Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Rashid Muhidin, GPK Kokurikulum, Ahmad Survi, Pengerusi Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan,Sekolah, Zolkeple Jemadar, kakitangan sekolah, Rosidah Ali, Nur Izziana Othman,Sadhana Mohd Yusoff, Rohaidah Mohd Salleh dan wakil pekerja, Abd Rahim.



Menandatangi plak 30 tahun sekolah ini ditubuhkan.

15 November 2011, jam 5.00 petang -
bersejarah buat pengetua.

Dasar Utama Kokurikulum

PERTAMA:
KEGIATAN KOKURIKULUM ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KURIKULUM KEBANGSAAN.

“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”(Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai PU(A) 531/97.

KEDUA :
Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan.”{Perkara 5.1 Surat Pekeliling ikhtisas Bil 1/1985 KP(BS)8591/Jld. II(29)}

KETIGA:
Penyertaan semua guru sebagai penjawat atau pengkhidmat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah” (Perkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.)

KEEMPAT:
“Kegiatan kokurikulum” yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid-murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.” {Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997}

KELIMA:
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan tetapi menfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi di kalangan murid-murid. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 bertarikh 16 November 2000).

DASAR SOKONGAN:
1. “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian”. {Perkara 5.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, KP(BS)8591/Jld.((929)}.

2. Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.{Rujuk Subperkara 4.2.1 dan Subperkara 5.2 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP. 8591-11(32) bertajuk “Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat”}.

3. “Kementerian Pendidikan amat menggalakkan murid-murid bergiat dalam kegiatan Pasukan Pakaian Seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru-guru dan murid-murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998).

4. “Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000).

5. “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.” (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000).6. “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang mempunyai sifat disiplin yang baik.” (Subperkara 8.2.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985).

Sumber rujukan:
Unit Kokurikulum,
JPNJ