MENU UTAMA

16 May, 2012

GURU INOVATIF PENGGALAK TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

16 Mei 2012 : Sambutan Hari Guru Meriah
Pengetua, Hj Mohmad Hashim memotong kek Hari Guru 2012

Tema Hari Guru tahun ini ialah Guru Inovatif Penggalak Transformasi Pendidikan Negara. Kehadiran Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Haji Baharudin Md Sham menyemarakkan lagi suasana sambutan gilang gemilang yang disambut di peringkat sekolah.

Majlis dimulakan dengan perarakan guru dengan iringan paluan kompang, pencak silat seni, dan disambut oleh 800 orang murid yang menunggu di dalam Dewan Permata. Kemeriahan seperti ini menjadi satu pengalaman penting kepada pelajar sekolah di mana budaya Melayu tidak akan pupus sekiranya diamalkan dalam apa jua majlis di peringkat sekolah.

Rashid Muhidin, penolong kanan Hal Ehwal Murid (HEM) membaca perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPM) manakala Anim Mohamed Jaib, penolong kanan pentadbiran membacakan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia.

Haji Baharudin Md Sham, mengingatkan pelajar sekolah ini bahawa mereka beruntung kerana mempunyai cikgu-cikgu yang cemerlang, berpengalaman dan berwawasan tinggi untuk mendidik mereka supaya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Maka berusahalah dengan sungguh-sungguh agar berjaya dalam peperiksaan sama ada Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

PERTANDINGAN MEMANCING SEMPENA HARI GURU 2012

14 Mei 2012 (Isnin ): Pertandingan Memancing

Johan pertandingan memancing
Inisiatif guru yang berinovatif menjadi tunggak utama dalam merencanakan sambutan hari guru tahun ini. Pengerusi Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan (BKGK), Zolkeple Jemadar ditemui berkata, sambutan yang menggalakkan daripada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara menjadikan program  yang dirancang ini berjaya mencapai matlamat dan objektifnya.

Seramai 80 orang warga SMK Bandar Tenggara, termasuk suami, isteri, ibu ayah, anak-anak dan ibu bapa mertua turut serta meraikan pertandingan memancing di kolam ikan Felda Pengeli Timur. Penolong Kanan Pentadbiran, Anim Mohamed Jaib menyampaikan hadiah kemenangan kepada Sarjan Amran, yang berjaya mendapat ikan seberat 3 kilogram, mengatasi jumlah berat yang diperolehi oleh Rohidah Othman, 2.7 kg dan Taufiq Aluddin 1.7 kg. 

13 May, 2012

SMK BANDAR TENGGARA JUARA TAHUN 2012

13 Mei 2012: Dewan SMK Senai, Kulaijaya

Ustaz Zuraimi Hamidun (SMKBT), memegang piala kejohanan badminton
peringkat daerah Kulaijaya Tahun 2012
Pertandingan Badminton merebut Piala Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya diilhamkan oleh mantan PPD, Hj Fauzan Sukimi, bermula pada tahun lepas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada 16 buah sekolah menengah dan 52 sekolah rendah di daerah Kulaijaya tahun ini. Sejajar dengan tema Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara, Majlis Perhubungan Pemimpin Pelapis Pendidikan (M4P), telah berjaya menganjurkan pertandingan ini bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra dan SMK Senai.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya, Shahat Md Shah dalam ucapan perasmian penutup, di Dewan SMK Senai mengucapkan terima kasih kepada pengerusi M4P Sekolah Menengah dan Rendah, Misri Thariano dan Nordin Abd Rahman, pengetua SMK Bandar Putra dan SMK Senai serta jawatankuasanya kerana telah berjaya mencungkil bakat-bakat baru disamping pemain-pemain hebat yang sedia ada untuk diketengahkan pada kejohanan yang lebih besar.

Katanya lagi, tahniah kepada semua pemain dan syabas kepada pasukan SMK Bandar Tenggara di bawah pengurus pasukan, Zulkifli Jaafar yang berjaya menjadi juara mengalahkan SK Kulai dan SMK Senai untuk mara ke peringkat suku akhir pada pusingan awal dan menumpaskan SMK Kota Kulai pada pertandingan akhir. Pertandingan seumpama ini menunjukkan bahawa guru-guru perlu cergas, aktif dan berinovatif selaras dengan tema sambutan hari guru peringkat kebangsaan.

Turut hadir dalam pertandingan akhir pada petang ini ialah pengetua SMK Kota Kulai, Rahmah Sulaiman, penolong-penolong kanan sekolah menengah, Khairuddin Mustapha, Rahmat Baharudin, Baharom Husin, Bahrin, Surina Abd Jalil, jurulatih-jurulatih dan jawtankuasa M4P daerah Kulaijaya.