MENU UTAMA

15 November, 2011

SELAMAT BERSARA- JASAMU DIKENANG

Kulaijaya: 15 November 2011


Pn Hjh Banon SH Abdullah Bajrai, merekod waktu akhir bertugas
sebagai pengetua sekolah.


Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara, Banon SH Abdullah Bajrai menempah sejarah dalam hidupnya apabila bersara pada hari ini. Beliau ditemui berkata, saya seronok bertugas di sekolah ini. Tambahnya lagi, kejayaan cemerlang sekolah ini melalui sembilan anugerah kualiti pendidikan yang diterima  daripada Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Fauzan Sukimi membuktikan bahawa semangat bekerja secara berpasukan perlu diiteruskan. "Hasilnya sekolah ini berjaya menerima anugerah khas PPD kerana menjadi sekolah menengah terbaik kategori bukan sekolah kawalan 2010," katanya bangga.

Banon berasal dari Batu Pahat, Johor dan dilahirkan pada 16 November 1955 pernah belajar di dua buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pelangi dan SK Pengaram, Batu Pahat. Manakala mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Aminah, Batu Pahat dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Aminudin Baki, Kuala Lumpur.

Pemegang Ijazah dari Universiti Malaya (UM)  dalam bidang sastera telah menerima dua kali  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sepanjang perkhidmatannya. Dua cahaya mata kembarnya sedang menuntut di Universiti Sains Jordan dan Universiti Petronas Malaysia. Anak sulungnya, Siti Hajar Nasir bertugas sebagai seorang doktor gigi dan  Siti Hana Nasir sebagai pensyarah kolej.

Turut hadir dalam majlis ringkas saat-saat menamatkan kerjayanya sebagai Pegawai Perkhidmatan Awam di SMK Bandar Tenggara ialah Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Rashid Muhidin, GPK Kokurikulum, Ahmad Survi, Pengerusi Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan,Sekolah, Zolkeple Jemadar, kakitangan sekolah, Rosidah Ali, Nur Izziana Othman,Sadhana Mohd Yusoff, Rohaidah Mohd Salleh dan wakil pekerja, Abd Rahim.



Menandatangi plak 30 tahun sekolah ini ditubuhkan.

15 November 2011, jam 5.00 petang -
bersejarah buat pengetua.

HADIRMU SEKETIKA KASIHMU NAN ABADI - PN HJH BANON BINTI SH ABDULLAH

Bandar Tenggara: 15 November 2011
Puan Hajjah Banon Binti SH Abdullah
Pengetua SMK Bandar Tenggara

Pemegang Ijazah Universiti Malaya (UM) bidang sastera memulakan kerjaya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolam Air, Batu Pahat pada tahun 1980. Kemudian berpindah ke empat buah sekolah menengah di daerah Kluang iaitu SMK Methodist, Parit Buntar (1984-1988), Sekolah Tinggi Kluang (1989-1993), SMK Tengku Aris Bendahara (1994-2008), SMK Layang-layang (2008 -2011) dan dinaikkan pangkat ke gred DG52 di SMK Bandar Tenggara.

Walau pun berkhidmat hanya enam bulan di SMK Bandar Tenggara, seorang pengetua tetap memegang prinsip dan melaksanakan budaya kerja cemerlang. Kepimpinannya jelas membayangkan bahawa misi, visi, matlamat sekolah dan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) menjadi agenda utama yang perlu diteruskan demi agama, bangsa dan negara.

Ibu kepada empat cahaya mata melalui perkahwinannya dengan Nasir Said yang juga bersara sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Melayu, Kluang. Anak-anaknya cemerlang dalam bidang kerjaya dan pelajaran. Anak yang sulung merupakan seorang doktor gigi, kedua pensyarah dan kembarnya sekarang ini melanjutkan pengajiannya di Universiti Sains Jordan (USJ) dalam jurusan kedoktoran dan seorang lagi di Universiti Petronas (UP) Malaysia.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Anim Mohamad Jaib baru-baru ini telah menghadiri Majlis Anugerah Kualiti Peringkat Daerah Kulaijaya di Sofitel, Senai. Beliau menyampaikan salam dan ucapan tahniah daripada Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Tuan Hj Fauzan Sukimi  kepada semua murid dan pelajar serta warga sekolah. Khusus kepada kepimpinan pengetua lama, Zainal Othman yang bersara pada Mac yang lepas.

SMK Bandar Tenggara telah menerima 9 anugerah dari PPD Kulaijaya.
Anugerah-anugerah tersebut ialah:-
1. Anugerah Khas PPD Sekolah Menengah Terbaik (Bukan Sekolah Kawalan).
2. Peratus Pencapaian Terbaik PMR 2010 (Sekolah Bukan Kawalan).
3. Peningkatan Tertinggi Pendidikan Moral SPM 2010.
4. GPS Terbaik SPM 2010 (Sekolah Bukan Kawalan).
5. Peratus Lonjakan Saujana Tertinggi STPM 2010.
6. PGNK Terbaik STPM 2010.
7. Peningkatan PNGK Pengajian Am Tertinggi.
8. Pengurusan Pendidikan Khas Terbaik.
9. Jawatankuasa Hari Guru Peringkat Negeri Johor.